TransformasiPentaksiran
bmupsr2016
Friday, June 5, 2015
UPSR, SPM 2016: Tiada lagi soalan ramalan
KUALA LUMPUR - Sebanyak 40 peratus soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan 50 peratus soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan berbentuk pemikiran aras tinggi menjelang 2016.
Perubahan dalam reka bentuk peperiksaan itu bermaksud guru tidak lagi perlu meramal soalan dan topik yang akan diuji dan melaksanakan latih tubi bagi mengingati kandungan pelajaran.
"Sebaliknya murid akan dilatih untuk berfikir secara kritis dan mengaplikasi pengetahuan dalam situasi berbeza," demikian menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Pelan itu dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.
Dalam menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi, kurikulum peperiksaan dan pentaksiran untuk mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) juga akan dikaji semula.
Untuk itu, murid akan mendapat tambahan masa pengajaran dan penekanan terhadap aplikasi pengetahuan yang praktikal melalui amali makmal dan pembelajaran berasaskan projek, khusus bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.
Dalam usaha memastikan setiap murid menguasai kemahiran bahasa Inggeris, Kementerian Pendidikan menetapkan bahasa Inggeris sebagai kertas wajib lulus di peringkat SPM bermula 2016.
Bagi membantu murid memenuhi keperluan itu, Kementerian Pendidikan akan melaksanakan Sistem Set iaitu membahagikan guru kepada kumpulan atau set tertentu bagi membolehkan mereka merangka pendekatan pedagogi yang sesuai dengan tahap kemahiran dan keperluan pembelajaran murid.
Bagi meningkatkan pengajaran bahasa Inggeris, semua 61,000 guru bahasa Inggeris juga diwajibkan mengikuti Ujian Penempatan Cambridge (CPT) dalam tempoh dua tahun.
Berhubung usaha melahirkan rakyat yang menghayati nilai sejagat, pelan itu menggariskan bahawa Pendidikan Agama Islam dan Pendidikan Moral perlu diperkukuh dengan tumpuan diberikan kepada perpaduan dan memupuk persefahaman yang erat antara murid.
Dengan itu, setiap murid sekolah rendah dan menengah perlu melibatkan diri dalam khidmat komuniti di mana elemen komuniti akan dijadikan prasyarat untuk kelulusan bagi sekolah menengah.
Selain itu, keperluan penyertaan murid dalam 1Sukan, 1Kelab dan 1Badan Beruniform juga akan diperkukuh, dan bagi meningkatkan kualiti aktiviti yang ditawarkan di sekolah, guru penasihat aktiviti akan diberi latihan bersasaran oleh kementerian.
"Kementerian juga akan mengkaji kemungkinan mewajibkan penglibatan ini sebagai syarat tamat pengajian dan pemberian biasiswa di peringkat pengajian tinggi," menurut pelan itu. - Bernama
format baru
Format Baru PMR Dan UPSR Mulai 2016
SYDNEY: Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan menggunakan format baru mulai 2016, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.Beliau berkata peperiksaan bagi pelajar Tingkatan Tiga akan dibuat melalui penilaian berasaskan sekolah manakala peperiksaan UPSR bagi murid Tahun 6 akanmempunyai bentuk dan format yang agak berbeza.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata kementerian perlu mengambil masa untuk melaksanakan sistem penilaian yang baru itu kerana pelajar yang ada dalam sistem sekarang tidak boleh dibebani dengan format baru.
"Kalau kita nak mulakan penambahbaikan UPSR dan PMR itu, ia mungkin akan bermula seawal-awalnya pada tahun 2016.
"Pelajar yang telah ada dalam sistem sekarang ini tidak perlu kita hadapkan dengan ujian baru kerana mereka telah berada dalam sistem ini...tapi kohort yangbaru masuk mungkin pada 2011, maka ujian yang pertama ialah pada 2016," katanyakepada wartawan Malaysia di sini, Sabtu.
Beliau berkata rundingan ketiga dan terakhir meja bulat mengenai penambahbaikan sistem peperiksaan itu telah selesai dan mereka menerima baik pandangan dan cadangan penambahbaikan yang dikemukakan kementerian. "Secara kasarnya saya boleh sebutkan, umumnya ramai bersetuju bahawa UPSR itu perlu dikekalkan tetapi mesti ada penambahbaikan manakala bagi PMR pula umumbersetuju ia diganti dengan penilaian berasaskan sekolah.
"Yang penting di sini ialah setiap peringkat kemajuan murid dan pelajar sekolah itu perlu dinilai," katanya.
Muhyiddin berkata antara penambahbaikan yang mungkin dilakukan untuk UPSR ialah 60 peratus penilaian murid akan berasaskan bidang-bidang akademik yang terpilih manakala 40 peratus lagi berdasarkan kokurikulum atau sivik.
Beliau berkata perkara itu akan dibawa ke Kabinet dan maklumat terperinci mengenai penambahbaikan itu akan diumum apabila ia diputuskan secara muktamad.
Mengenai penilaian berasaskan sekolah bagi PMR pula, Muhyiddin berkata Lembaga Peperiksaan akan memainkan peranan penting untuk menyelaras bentuk ujian yang akan dilakukan di peringkat sekolah itu.
"Mungkin dalam masa seminggu lagi kita akan maklumkan secara muktamad," katanya.
Muhyiddin berkata penambahbaikan itu akan memperkukuhkan lagi sistem dan kualiti pendidikan negara, dan tidak dilihat sebagai berasaskan peperiksaan semata-mata.
Beliau berkata program perintis penilaian berasaskan sekolah itu telah dilaksanakan sejak 2008 dan sehingga kini ia melibatkan 550 sekolah.
Penambahbaikan sistem peperiksaan UPSR dan PMR itu akan melibatkan perubahan dari segi kurikulum, buku dan latihan untuk guru, katanya. - BERNAMA
http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2010/10/09/format-baru-pmr-dan-upsr-mulai-2016--muhyiddin/
Subscribe to:
Posts (Atom)
